السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Blog ini adalah koleksi kata-kata perangsang dan hikmah, panduan dan inspirasi, yang dapat membantu anda di pelbagai peringkat untuk memupuk semangat dan motivasi diri yang tinggi. Blog ini penuh dengan petunjuk, petua dan nasihat dari ahli falsafah, pakar psikologi dan motivasi dan pujangga yang terkemuka, yang dapat dijadikan panduan untuk kita semua bagi membina keperibadian berjaya dan pemikiran positif.
Banyak kata-kata hikmah ini adalah daripada hasil kajian dan terjemahan yang telah digubah sedemikian rupa supaya gaya bahasa dan ayat-ayatnya segar dan menarik untuk bacaan anda. Tetapi perlu ditegaskan di sini bahawa kata-kata hikmah ini bukan sekadar untuk dibaca sahaja. Kita mesti menjiwainya, disusuli dengan tindakan yang sewajarnya untuk membuahkan hasil.
Jika kita bersungguh-sungguh menanamkan benih-benih pemikiran positif, serta disemai, dibajai dan dipupuk dengan cara yang betul lagi konsisten, pasti akan membawa kesan serta mempengaruhi perwatakan dan kehidupan kita semua. Yakinlah!
Blog ini boleh diaplikasikan dengan 4 cara, seperti berikut:
1. Rujuk blog ini setiap hari seumpama buku ‘Panduan Hidup’. Ia pasti boleh memberi peringatan dan panduan kepada kita serta dapat memotivasikan diri kita semua. Ia mengandungi kata-kata hikmah yang bernas, dan amat sesuai dijadikan pedoman untuk kita menjalani hidup dengan lebih sempurna.
2. Untuk tujuan merangsang diri sendiri, lebih-lebih lagi pada hari-hari yang mana anda tidak mempunyai “mood” yang baik, blog ini amat berkesan jika anda selami kata-kata hikmah dan ulasannya sekali, demi merangsangkan diri anda untuk menghadapi ujian hidup seharian.
3. Blog ini juga mampu membantu anda untuk memupuk sikap positif dan semangat yang kental dan membara, dalam usaha anda untuk memajukan diri sendiri.
4. Blog ini mudah membantu kita untuk menepis serangan pemikiran negatif yang dilemparkan oleh orang lain terhadap kita, supaya kita tidak semudah itu diperlemahkan semangat juang dalam mengharungi liku-liku hidup kita seharian.
Fikir-fikirkanlah setiap kata-kata hikmah dan ulasan yang dipaparkan dalam blog ini. Segala cabaran dan kesulitan yang mungkin anda hadapi dapat diatasi, jika anda berpegang teguh kepada cogankata berikut:
“Punca keruhnya air, kerana buruk tanahnya. Punca lemahnya semangat manusia, kerana buruk pemikirannya.”
Fikir-fikirkanlah.
FARIT ISMETH EMIR

No comments:
Post a Comment