Pages

Monday, December 21, 2015

BEKERJA BIARLAH IKHLAS



Ada orang datang ke pejabat dengan perasaan penuh gembira dan ceria. Ada yang datang dengan perasaan ‘biasa’, dan ada datang dengan perasaan serba tak kena. Ingatlah, sesiapa yang datang hanya dengan perasaan ‘biasa’ sahaja, hasilnya adalah ‘biasa’ sahaja. Sesiapa yang datang dengan ceria, hasilnya akan jadi lebih daripada biasa ataupun luar biasa. Bekerjalah dengan ceria agar menghasilkan produktiviti yang luar biasa yang akan menggembirakan orang di sekeliling kita. Semoga hasil itu akan mendapat keberkatan.

Monday, November 9, 2015

KENAPA SUKA BERTANGGUH?



a. Kita tidak boleh lawan malas tetapi kita boleh latih diri kita sendiri untuk menjadi rajin. Jika kita lawan sikap malas, kita akan semakin terdorong untuk jadi malas bahkan kita akan bertambah-tambah jadi malas hingga kita suka bertangguh.

b. Cari sesuatu yang boleh dikerjakan dan kita buat. Orang yang malas adalah orang yang tidak ada matlamat dalam hidup.  Itu samalah dengan tidak ada senarai apa yang harus dibuat. Kita akan mula dapat mengawal sikap bertangguh ini apabila kita anggap apa yang kita buat itu perkara yang penting.

c. Kita perlu buat sekarang atau menulisnya di “PERINGATAN”, supaya kita mudah ingat nanti. Kuncinya ialah anggap perkara itu penting, letak sebagai  PERINGATAN DIRI”. Sekarang  kita sudah ada ‘senarai’ sendiri. Itu maknanya, kita melatih diri sendiri jadi orang bermatlamat yang dapat melatih diri kita mengawal dan mengikis sikap suka bertangguh.

Monday, October 12, 2015

BERKAWAN DENGAN ORANG YANG BERJAYA



a. Rasulullah s.a.w sendiri pernah bersabda, “Jika mahu kenal seseorang itu maka kenalilah kawan-kawannya”. Oleh itu, sekiranya anda memilih kawan yang positif, bergaul dengan mereka yang berjaya, banyak berbincang tentang apa yang mahu dicapai di masa hadapan; pastinya ia akan mempengaruhi pemikiran dan tindakan harian anda. Pastinya anda turut terdorong untuk mencapai kejayaan dalam hidup anda pula. Mereka yang gagal hanya akan mampu menceritakan kisah-kisah kegagalan mereka sedang mereka yang berjaya pula akan menceritakan kisah-kisah kejayaan mereka.

b. Untuk berjaya kita perlu berkawan dengan mereka yang telah berjaya. Belajar dari pengalaman dan pengetahuan mereka. Belajar tentang cara mereka membentuk personaliti di kalangan masyarakat. Orang yang berjaya selalunya mempunyai personaliti dan karisma yang mengkagumkan. Personaliti dan karisma ini bukannya semula jadi sebaliknya mereka berusaha membinanya. Kalau mereka boleh, anda juga boleh melakukannya.


إن شاء الله


Monday, September 7, 2015

SIKAP BERSANGKA BAIK


HUSNUDZON

a. Sesiapa juga yang kita fikirkan, fikirlah yang baik-baik sahaja tentang dirinya walaupun dia musuh ketat kita atau dia pernah menyakitkan hati kita. Setiap hari kita akan berjumpa ratusan orang. Ada yang membuat kita menyampah, ada yang membuat kita suka. Kekadang kita teringat orang-orang dari masa lalu atau orang yang kita berbual dengan mereka pada minggu lalu.

b. Biasanya, kita akan lebih mengingati perangai mereka yang menyakitkan hati kita. Hati-hati dengan sikap sebegini sebab ia adalah racun kepada fikiran positif kita.  Sikap begini membuat minda terlatih ke arah fikiran negatif. Untuk mengubahnya, fikirlah hanya yang baik-baik tentang sesiapa sahaja walaupun kita tidak begitu gemar sikap atau tabiatnya.

c. Lebih banyak kita berfikiran baik-baik pada seseorang, lebih banyak kita ditemukan dengan situasi yang baik-baik, bahkan kita sendiri akan rasa seolah-olah kita ini bertuah sebab asyik jumpa situasi yang baik-baik belaka.

Monday, August 10, 2015

BUANGKAN PERASAAN BENCI


1.    Bersangka baik pada setiap perkara yang dilakukan orang lain.

2.   Sucikan hati dengan sentiasa lakukan amalan untuk dekatkan diri pada Tuhan. Banyak sedekah, zikir, menolong saudara dan sahabat.

3.    Percaya bahawa sahabat yang kita sedang benci itu adalah aset untuk kita suatu hari nanti. Semua orang sekeliling kita adalah aset untuk kita ketika kita susah.

Wednesday, July 22, 2015

BAGAIMANA UNTUK WAJAH SENTIASA KELIHATAN MUDA?



1.   Sentiasalah tersenyum. Senyuman yang dilempar itu secara tidak langsung membuatkan orang sekeliling turut tersenyum kepada anda. Jangan lupa, mereka yang kerap kali muram dan masam muka, amatlah hodoh sekali apabila dipandang.

2.  Sentiasa bahagiakan diri. Jangan suka menimbulkan gaduh dengan orang lain. Banyakkan membantu mereka yang di dalam kesusahan. 

“Sesiapa yang bersedia memenuhi hajat saudaranya, Allah sentiasa bersedia untuk memnuhi hajatnya.” (Riwayat Ibn Abbas).

إن شاء الل

Monday, June 1, 2015

ORANG YANG SUKA MEMAKI HAMUN


a. Jika anda dengar orang memaki, anda akan dijangkiti fikiran negatif. Jika anda memaki, anda akan menjadi orang berfikiran negatif. Orang yang berfikiran negatif suka memaki-maki. Mereka buat begitu untuk menunjukkan mereka hebat, untuk menunjukkan mereka kuat, supaya sesiapa sahaja takut dengan mereka.

b. Sikap memaki-maki menarik kesusahan masuk ke dalam hidup sendiri dan sikap ini susah untuk dibendung. Apabila kesusahan melanda, sikap yang sama akan menarik lebih banyak lagi kesusahan. Selepas itu kesusahan lain akan muncul untuk menambah lagi kesusahan sedia ada.

Monday, May 11, 2015

BAGAIMANA CARA UNTUK BERTENANG?


1. Mulakan dengan niat. Untuk bertenang selalu dan untuk membina ketenangan dalam diri, mulakan dengan niat. Kenapa anda mahu bertenang? Mesti ada sebabnya. Sebagai contoh, anda ingin bertenang mungkin sebab anda ingin mengelak dari stress, mungkin sebab anda ingin melatih diri supaya bertenang selalu atau pun anda ingin merasai ketenangan dalam apa jugaa perkara yang anda lakukan.

2. Longgarkan otot, longgarkan sendi, longgarkan urat kening. Elak dari mengerut kening ketika anda sedang merenung, sedang berfikir atau ketika sedang melihat pada sesuatu, misalnya skrin komputer atau skrin projektor. Jangan biasakan diri anda mengerut kening sebab pergerakan otot kening ketika dikerutkan akan membuat anda tertekan. Hal ini akan menyebabkan minda anda terlalu fokus. Bila sudah terlalu fokus, tidak akan ada ketenangan. Ini disebabkan minda anda dipengaruhi oleh kerisauan dan kekelamkabutan. Sebaiknya, saat membaca sesuatu, merenung atau memikirkan sesuatu, cuba relaks. Bawa diri anda bertenang.

Monday, April 20, 2015

CARA UNTUK MENJADIKAN DIRI KITA SENTIASA BERSEMANGAT


1. Semasa kita bangun dari tidur setiap pagi untuk pergi bekerja, bersihkanlah hati kita dengan Istighfar.

2. Elak bersangka buruk pagi-pagi sewaktu pintu rezeki terbuka. Ketika dalam perjalanan, elakkan berfikiran yang buruk-buruk mengenai kerja anda. Jangan bercakap dan jangan berfikir mengenai apa jugaa keburukan di tempat kerja anda.

3. Keburukan menarik keburukan. Kebaikan, menarik kebaikan. Penuhkan fikiran dengan memikir hal-hal baik yang anda nampak pada diri rakan-rakan sekerja.

Friday, March 27, 2015

MANFAAT STRESS


Saudara,


Stress atau tekanan terjadi pada semua manusia jika kita menerima stress sebagai bebanan maka bebanlah yang kita dapat. Sebaliknya jika stress diterima sebagai dorongan maka kejayaan pasti menunggu kita.


Fikir-fikirkanlah.

FARIT ISMETH EMIR


#faritismeth

Monday, March 16, 2015

TAKUT ADALAH PENGHALANG KEYAKINAN DIRI



a. Takut adalah penghalang besar kepada sikap yakin diri. Orang yang ada sikap yakin diri boleh hilang keyakinan dirinya kerana dia tiba-tiba takut pada sesuatu atau pada seseorang. Jika cinta adalah emosi positif yang paling kuat, takut pula ada emosi negatif yang terlalu kuat. Apabila anda yakin, tetapi dalam masa yang sama ada rasa takut, takut itu akan lebih banyak menguasai emosi anda.

b. Untuk melawan rasa takut caranya adalah membina keberanian. Jika kita lawan rasa takut, kita akan rasa berat, payah, susah. Tetapi, apabila kita melawan  rasa takut dengan membina keberanian lalu merelakan rasa berani menguasai fikiran kita, rasa takut akan pergi dengan sendirinya. Kebanyakan usahawan berjaya, pelajar dan ibu bapa cemerlang adalah mereka yang berani. Kalau ingin berjaya, kita mesti berani. Berani ambil risiko atau berani mendepani kata-kata kurang enak ditujukan pada diri kita.

Monday, February 9, 2015

BAGAIMANA UNTUK MENGATASI KEKECEWAAN?



Kita tidak boleh merubah situasi yang boleh membuat kita kecewa, sedih dan murung. Tetapi, kita boleh merubah fikiran kita dan apa yang kita fikirkan tentang situasi-situasi tersebut walau seburuk manapun ia. Rahsianya, cari sinar mentari di sebalik mendungnya awan. Walaupun perkara atau keadaan tidak berpihak kepada kita, cari cara bagaimana kita boleh jumpa nilai-nilai positif di dalamnya.

Fikir yang baik-baik sahaja, kerana ia memberi keuntungan jangka masa panjang. Rezeki kita murah dan segala yang baik-baik datang sendiri pada kita. Kita menjadi apa yang kita selalu fikirkan. Buat apa fikir yang buruk, sedangkan kita boleh tarik semua yang baik-baik?
Fikir yang buruk, kita akan dapat yang buruk. Ini hukum alam.

إن شاء الل

Sunday, February 1, 2015

PERIBADI AGUNG


Saudara,

1/2/2015
Keagungan peribadi seseorang itu terletak pada kesediaannya memberi ketika beruntung, kesediaan melindung apabila berkuasa.


Fikir-fikirkanlah.

FARIT ISMETH EMIR


#faritismeth


Monday, January 5, 2015

JANGAN MENGHARAPKAN ORANG LAIN AKAN BERUBAH


Janganlah kita asyik mengharapkan orang lain akan berubah. Ubahlah diri kita sendiri dahulu.

Tatkala kita sedari betapa sukarnya untuk mengubah sikap diri kita sendiri, baharulah kita ketahui berapa  sukarnya  juga  untuk kita mengubah sikap orang lain.

Satu kesilapan yang biasa kita lakukan ialah kita tidak mahu berubah, tetapi kita mengharapkan orang lain berubah.

Oleh itu, ubahlah diri kita sendiri dahulu.