Pages

Monday, November 20, 2017

“KEMPUNAN” DALAM MASYARAKAT MELAYU LAMA



“Jamahlah sedikit, nanti kempunan pulak  ..”
a. Kita sering diingatkan oleh ibu bapa supaya menjamah makanan sebelum keluar rumah supaya tidak kempunan. Ibubapa zaman dahulu sanggup mengambil sekepal nasi dari periuk dan memberikannya kepada anak yang sedang memakai kasut tergesa-gesa kerana sudah lambat ke tempat kerja atau ke sekolah. Selalunya anak itu akan mengambil nasi sekepal itu dan memakannya di hadapan ibu atau bapa untuk membuktikan padanya, nasi itu sudah dijamah. Anak itu akan melihat senyuman pada wajah ibu atau bapanya, seolah-olah beliau sudah menyelamatkan anak daripada musibah berakibatkan kempunan.
b. Apakah sebenarnya pengertian kempunan? Kempunan adalah konsep menjamah makanan yang terhidang biarpun sedikit. Bagi masyarakat Melayu lama, selera seseorang tidak boleh dibuat main kerana jika dibiarkan makanan itu tidak tersentuh walaupun hati ingin merasainya, pasti akan berlaku malapetaka yang boleh mengakibatkan kematian.
c. Selalunya apabila kita bertandang ke rumah orang Melayu, pasti ada hidangan kuih dan air. Paling sedikit pun, air segelas, kerana memang adat orang Melayu melayan tetamu dengan baik. Sekiranya kita tak menyentuh hidangan yang disuakan, pasti tuan rumah akan berkecil hati. Supaya tidak menyinggung perasaan tuan rumah, kita terpaksa menjamah sedikit, supaya tidak kempunan. Orang Melayu percaya, walaupun kita sebagai tetamu belum berselera untuk menjamah hidangan, secara tidak sedar, hati sudah berkata-kata tentang makanan yang terhidang. Makanan itu harus dijamah supaya kita tidak akan teringat tentang makanan itu apabila pulang. Tindakan menjamah makanan adalah untuk mengelak terjadinya kempunan.