Pages

Monday, April 11, 2016

FALSAFAH BALIK KAMPUNG


a. Balik kampung sebenarnya ada asasnya dalam Islam. Ia bukan sekadar satu adat atau budaya orang kita sahaja. Pada prinsipnya, kampung halaman adalah tempat asal seseorang atau tempat yang dihuni oleh orang tua kita. Ini bermakna balik kampung adalah suatu amalan untuk kembali kepada asal usul kita sebagai manusia. Dalam bahasa arab istilah yang digunapakai ialah”usul” iaitu orang yang di atas kita yang terdiri daripada ibu/ayah, datuk/nenek, moyang, piut sehingga ke atas. Balik kampung sebenarnya adalah balik semula kepada asal usul kita meskipun mungkin orang tua sudah tidak ada lagi.

b. Dengan sebab itu juga Rasulullah s.a.w. membenarkan ziarah kubur sebagai tanda ingatan kita kepada orang tua dan untuk ingat kepada kematian. Rasulullah juga bersabda yang bermaksud bahawa doa anak yang soleh/solehah sampai pahalanya kepada si mati sebagai tanda ingatan seseorang kepada ibu/ayahnya. Sehinggakan perkara ini disepakati oleh semua ulama.


c. Sesungguhnya, kembali kepada usul boleh dianalogikan kepada amalan balik kampung. Oleh itu seseorang yang sudah tidak ada kampung lagi pun boleh kembali kepada usul iaitu dengan mengingati orang tua mereka. Dalam Islam kita diajar supaya kembali kepada Al-Quran dan Al-Sunnah sebagai usul yang jika dipegang tidak akan sesat selama-lamanya. Allah Taala juga dalam banyak ayatNYA meminta kita merenung kembali kepada asal penciptaan kita iaitu dari nabi Adam dan dari air mani. Kita juga diingatkan bahawa kita dari tanah dan akan kembali kepada tanah. Kita juga diingatkan bahawa kita datang dari Allah dan pasti akan kembali kepada Allah. Kesemua konsep ini menggambarkan bahawa fenomena balik kampung itu jika difahami dan dihayati, akan lebih mendekatkan kita, kepada diri kita sendiri dan seterusnya mendekatkan diri kita kepada Allah Taala.

No comments:

Post a Comment