“Jamahlah sedikit, nanti kempunan
pulak ..”
a. Kita sering diingatkan oleh ibu
bapa supaya menjamah makanan sebelum keluar rumah supaya tidak kempunan.
Ibubapa zaman dahulu sanggup mengambil sekepal nasi dari periuk dan
memberikannya kepada anak yang sedang memakai kasut tergesa-gesa kerana sudah
lambat ke tempat kerja atau ke sekolah. Selalunya anak itu akan mengambil nasi
sekepal itu dan memakannya di hadapan ibu atau bapa untuk membuktikan padanya,
nasi itu sudah dijamah. Anak itu akan melihat senyuman pada wajah ibu atau
bapanya, seolah-olah beliau sudah menyelamatkan anak daripada musibah
berakibatkan kempunan.
b. Apakah sebenarnya pengertian
kempunan? Kempunan adalah konsep menjamah makanan yang terhidang biarpun
sedikit. Bagi masyarakat Melayu lama, selera seseorang tidak boleh dibuat main
kerana jika dibiarkan makanan itu tidak tersentuh walaupun hati ingin
merasainya, pasti akan berlaku malapetaka yang boleh mengakibatkan kematian.
c. Selalunya apabila kita bertandang
ke rumah orang Melayu, pasti ada hidangan kuih dan air. Paling sedikit pun, air
segelas, kerana memang adat orang Melayu melayan tetamu dengan baik. Sekiranya
kita tak menyentuh hidangan yang disuakan, pasti tuan rumah akan berkecil hati.
Supaya tidak menyinggung perasaan tuan rumah, kita terpaksa menjamah sedikit,
supaya tidak kempunan. Orang Melayu percaya, walaupun kita sebagai tetamu belum
berselera untuk menjamah hidangan, secara tidak sedar, hati sudah berkata-kata
tentang makanan yang terhidang. Makanan itu harus dijamah supaya kita tidak
akan teringat tentang makanan itu apabila pulang. Tindakan menjamah makanan
adalah untuk mengelak terjadinya kempunan.
d. Kita pasti pernah mendengar
kisah-kisah wanita mengandung yang mengidam hendak memakan sesuatu. Apabila
seleranya tidak terpenuh, wanita itu akan kempunan. Mengikut cerita orang-orang
tua, wanita yang kempunan selalunya menghadapi masalah ketika bersalin kerana bayinya
belum merasai apa yang dihajatkan. Kesukaran melahirkan itu boleh mengakibatkan
maut atau kecacatan pada bayi. Sekiranya kelahiran itu sempurna, bayi itu
dikatakan air liurnya sentiasa meleleh sehingga besar, kerana kempunan makanan
sewaktu dalam perut si ibu.
e. Andai kita singkap semula kisah
Wan Anum, isteri Laksamana Bentan yang mengidam memakan seulas nangka, ‘world
view’ masyarakat Melayu pada waktu itu yakin bahawa selera hendak makan nangka
itu bukannya selera si ibu tetapi selera si bayi yang dalam kandungan. Cerita
ini juga seolah-olah menjadi pengukuhan untuk meyakinkan para bakal bapa supaya
sentiasa memenuhi hajat selera isteri mengandung. Namun dalam cerita ini, Wan
Anum menerima musibah dan mati kerana memenuhi keinginan seleranya memakan
nangka raja.
f. Dalam kisah ‘Batu Belah Batu
Bertangkup’ pula, seorang ibu yang kematian suami sanggup meninggalkan dua
orang anak yang masih kecil dan mnyerahkan dirinya dimakan puaka batu belah
hanya kerana kempunan telur tembakul. Biarpun budaya masyarakat Melayu tidak
pernah menggunakan kaedah membunuh diri untuk menyelesaikan masalah, namun
dalam cerita ini menunjukkan teladan kepada anak-anak untuk menghargai si ibu
dan tidak mementingkan diri sendiri. Melalui cerita ini juga, konsep ‘kempunan’
diberi pengukuhan dan meyakinkan ‘world view’ masyarakat Melayu lama tentang
akibat-akibat buruk yang mengakibatkan kematian sekiranya seseorang itu
kempunan.
g. Ada pendapat yang mengatakan
kempunan hanyalah menurut kepercayaan orang-orang melayu sahaja dan merupakan
suatu kepercayaan turun-temurun. Masyarakat Melayu dahulu tidak mendapat
jawapan terhadap fenomena semulajadi alam sekitar dan kesannya terhadap hidup
mati manusia lantas mengaitkannya dengan ‘kempunan’. Malah, kepercayaan
kempunan boleh membawa kepada syirik. Misalnya, seseorang tidak menjamah
makanan dan kemudian meninggal dunia. Ada orang yang mengatakan, ‘kalaulah dia
makan dahulu, dia mungkin tidak mati’. Tanggapan begini menjadi syirik kerana
tidak mempercayai qadak dan qadar Tuhan. Kesimpulannya, tiada istilah atau
konsep ‘kempunan’ dalam agama Islam.
No comments:
Post a Comment