Pages

Monday, March 21, 2016

JANGAN TERLAMPAU MENYUKAI. JANGAN TERLALU MEMBENCI.


Jika anda menyukai seseorang, janganlah terlalu menyukai, kelak anda tidak akan nampak apa-apa kekurangan pada dirinya lagi.
Jika anda membenci seseorang, janganlah  terlalu membenci, kelak anda tidak melihat sebarang kebaikan pada dirinya lagi.
Kadang-kadang, manusia menjadi buta tatkala dia terlalu menyukai, terlalu meminati dan terlalu mengagumi.

Saturday, February 6, 2016

KITA PERLU BERFIKIRAN POSITIF



Berfikiran positif membolehkan minda anda mengeluarkan arus “alpha” iaitu arus kecemerlangan untuk membina kejayaan. Berfikiran positif juga membuatkan perkara yang sukar menjadi senang, masalah bertukar menjadi peluang, masa depan kelihatan lebih cerah dan rezeki pun akan meluas. Fikiran-fikiran positif itu adalah doa berpanjangan yang kita panjatkan. Selama kita berfikiran positif, selama itulah menjadi satu pengharapan yang amat besar terhadap Allah s.w.t.

Monday, January 4, 2016

KEKURANGAN BUKAN ALASAN



a. Tidak semua orang yang berjaya itu memiliki kesempurnaan sebelum mencapai kejayaan. Ada di antara mereka mengalami kekurangan fizikal tetapi masih mampu mengukir nama di dalam lipatan sejarah sebagai orang yang berjaya. Ada di antara para cendekiawan dunia yang buta, tuli dan lumpuh namun kekurangan ini tidak pernah mematahkan semangat mereka untuk terus berjaya. Dengan ilmu yang ada mereka terus memberi sumbangan positif kepada masyarakat. Jelas sekali bahawa mereka tidak pernah merasakan ada kekurangan pada diri mereka. Malah mereka terus berbakti memenuhi kekurangan orang lain melalui curahan ilmu pengetahuan.

b. Namun anehnya orang yang sempurna fizikalnya selalu merasakan dirinya serba kekurangan. Kesannya masa dihabiskan hanya untuk merintih dan menangisi kekurangan yang dirasakan. Ketahuilah, masalah kesihatan, kewangan, perhubungan, status dan peribadi diri hanyalah penghalang sementara yang boleh dirobohkan. Semua itu bukannya pemati jalan hidup ini. Harus kita ingat juga bahawa ramai orang terkenal yang telah mencapai kejayaan dalam hidup ini tidak mempunyai pelajaran yang tinggi tetapi masih mampu berbakti kepada orang lain. Mereka semua telah berjaya kerana mereka menjalani kehidupan ini dengan gigih, tabah dan optimis. Satu sebab lagi, mereka tidak mengukur kejayaan hidup ini dengan harta dan kedudukan semata-mata tetapi mengukur kejayaan hidup dengan ketenangan jiwa serta keredhaannya menerima takdir yang telah diberikan oleh Allah S.W.T. Terimalah siapa diri kita seadanya. Nescaya ketenangan dan kebahagiaan itu pasti datang.

إن شاء الل

Monday, December 21, 2015

BEKERJA BIARLAH IKHLAS



Ada orang datang ke pejabat dengan perasaan penuh gembira dan ceria. Ada yang datang dengan perasaan ‘biasa’, dan ada datang dengan perasaan serba tak kena. Ingatlah, sesiapa yang datang hanya dengan perasaan ‘biasa’ sahaja, hasilnya adalah ‘biasa’ sahaja. Sesiapa yang datang dengan ceria, hasilnya akan jadi lebih daripada biasa ataupun luar biasa. Bekerjalah dengan ceria agar menghasilkan produktiviti yang luar biasa yang akan menggembirakan orang di sekeliling kita. Semoga hasil itu akan mendapat keberkatan.

Monday, November 9, 2015

KENAPA SUKA BERTANGGUH?



a. Kita tidak boleh lawan malas tetapi kita boleh latih diri kita sendiri untuk menjadi rajin. Jika kita lawan sikap malas, kita akan semakin terdorong untuk jadi malas bahkan kita akan bertambah-tambah jadi malas hingga kita suka bertangguh.

b. Cari sesuatu yang boleh dikerjakan dan kita buat. Orang yang malas adalah orang yang tidak ada matlamat dalam hidup.  Itu samalah dengan tidak ada senarai apa yang harus dibuat. Kita akan mula dapat mengawal sikap bertangguh ini apabila kita anggap apa yang kita buat itu perkara yang penting.

c. Kita perlu buat sekarang atau menulisnya di “PERINGATAN”, supaya kita mudah ingat nanti. Kuncinya ialah anggap perkara itu penting, letak sebagai  PERINGATAN DIRI”. Sekarang  kita sudah ada ‘senarai’ sendiri. Itu maknanya, kita melatih diri sendiri jadi orang bermatlamat yang dapat melatih diri kita mengawal dan mengikis sikap suka bertangguh.

Monday, October 12, 2015

BERKAWAN DENGAN ORANG YANG BERJAYA



a. Rasulullah s.a.w sendiri pernah bersabda, “Jika mahu kenal seseorang itu maka kenalilah kawan-kawannya”. Oleh itu, sekiranya anda memilih kawan yang positif, bergaul dengan mereka yang berjaya, banyak berbincang tentang apa yang mahu dicapai di masa hadapan; pastinya ia akan mempengaruhi pemikiran dan tindakan harian anda. Pastinya anda turut terdorong untuk mencapai kejayaan dalam hidup anda pula. Mereka yang gagal hanya akan mampu menceritakan kisah-kisah kegagalan mereka sedang mereka yang berjaya pula akan menceritakan kisah-kisah kejayaan mereka.

b. Untuk berjaya kita perlu berkawan dengan mereka yang telah berjaya. Belajar dari pengalaman dan pengetahuan mereka. Belajar tentang cara mereka membentuk personaliti di kalangan masyarakat. Orang yang berjaya selalunya mempunyai personaliti dan karisma yang mengkagumkan. Personaliti dan karisma ini bukannya semula jadi sebaliknya mereka berusaha membinanya. Kalau mereka boleh, anda juga boleh melakukannya.


إن شاء الله


Monday, September 7, 2015

SIKAP BERSANGKA BAIK


HUSNUDZON

a. Sesiapa juga yang kita fikirkan, fikirlah yang baik-baik sahaja tentang dirinya walaupun dia musuh ketat kita atau dia pernah menyakitkan hati kita. Setiap hari kita akan berjumpa ratusan orang. Ada yang membuat kita menyampah, ada yang membuat kita suka. Kekadang kita teringat orang-orang dari masa lalu atau orang yang kita berbual dengan mereka pada minggu lalu.

b. Biasanya, kita akan lebih mengingati perangai mereka yang menyakitkan hati kita. Hati-hati dengan sikap sebegini sebab ia adalah racun kepada fikiran positif kita.  Sikap begini membuat minda terlatih ke arah fikiran negatif. Untuk mengubahnya, fikirlah hanya yang baik-baik tentang sesiapa sahaja walaupun kita tidak begitu gemar sikap atau tabiatnya.

c. Lebih banyak kita berfikiran baik-baik pada seseorang, lebih banyak kita ditemukan dengan situasi yang baik-baik, bahkan kita sendiri akan rasa seolah-olah kita ini bertuah sebab asyik jumpa situasi yang baik-baik belaka.