a. Orang Melayu dahulu begitu
menekankan ajaran adab berguru, supaya anak taat dan beradab kepada guru serta
orang yang lebih tua daripadanya. Kedudukan seorang guru dianggap mulia
sehinggakan ibu bapa pasrah dan rela guru memukul anak mereka, asalkan anak mereka
berupaya meraih manfaat ilmu daripada guru.
b. Adab berguru dahulu, semasa
permulaan mahu mendapatkan khidmat guru, ibu bapa akan memberi semacam ‘hadiah’
kepada guru sebagai syarat. Sebagai contoh, ada hadiah berbentuk kain atau
pakaian dan ada juga yang memberi hadiah Al-Quran dan rotan. Ada juga yang
memasakkan pulut kuning dan ayam jantan. Biasanya isi ayam jantan akan dimakan
oleh murid di hadapan guru. Rasionalnya, seorang guru dapat ‘membaca’ isi hati,
niat dan perilaku bakal muridnya, hanya dengan melihat cara murid itu makan.
Ada juga adab berguru dalam perguruan silat yang memberi ‘hadiah’ kepada guru
hanya selepas tamat berguru. Apa pun hadiah yang diberikan adalah sebagai
syarat menyatakan keikhlasan dan keredhaan ibu bapa yang meletakkan sepenuh
kepercayaan kepada guru.
c. Guru adalah orang yang
bertanggungjawab mendidik dan menyampaikan ilmu. Seorang guru adalah manusia
yang berilmu, berfikiran jauh, matang dan menggunakan kepakarannya untuk
membimbing orang lain. Perkataan ‘guru’ diambil daripada perkataan Sanskrit.
‘gu’ bererti ‘kegelapan’ dan ‘ru’ pula bererti ‘cahaya’. Justeru tugas guru
adalah untuk ‘menerangkan kekaburan’ pelajarnya. Tugas guru sebagai penyuluh
jalan yang gelap, haruslah membimbing pelajar yang tidak faham dan tidak tahu,
supaya tahu dan faham.
d. Ada pujangga yang mengatakan,
‘ilmu itu di mulut guru’. Frasa ini memberi maksud bahawa guru tetap ‘relevan’
dalam proses menuntut ilmu. Menuntut ilmu tanpa guru pula boleh menyebabkan
seseorang itu menjadi hilang pedoman sehingga memberikan tafsiran ilmu yang
salah. Sebab itulah dalam Islam ada mengatakan, seseorang yang belajar tanpa
guru itu menjurus ke arah berguru dengan syaitan. Apabila syaitan menyesatkan
manusia yang dalam pencarian ilmunya, manusia itu boleh menjadi ‘isim’. ‘Isim’
dapat disifatkan sebagai gangguan mental akibat rasa tertekan semasa menuntut
ilmu.
e. Terdapat 4 cara menuntut ilmu:-
Pertama, ilmu dapat daripada ajaran
guru.
Kedua,
melalui kaedah mencuba (trial and error).
Ketiga, melalui kaedah meniru atau
mengikut panduan yang diberi.
Keempat,
melalui cara berfikir tentang setiap tindakan yang telah atau akan diambil (reflection).
f. Dahulu, kita sentiasa mendengar
cerita bahawa seorang guru tidak akan mengajar kesemua pengetahuan yang
dimilikinya. Kalau guru ada 10 ilmu, dia hanya memberikan 9. Kononnya, 1 ilmu
yang tinggal itu amat berguna sekiranya murid itu menentang guru kemudian hari.
Sekiranya guru memberikan kesemua ilmunya, murid itu pasti berjaya
menewaskannya suatu hari nanti. Sebenarnya, cerita-cerita sedemikian hanyalah
sekadar ‘gertak’, untuk menakut-nakutkan murid supaya tidak menentang guru
sendiri suatu hari nanti. Dalam fikiran murid pasti akan sentiasa berfikir
bahawa si guru tetap ‘lebih’ ilmunya. Padahal, 1 ilmu yang tidak diajar guru
itu sememangnya tidak boleh diajar. Ilmu itu harus didapatkan sendiri oleh
sesiapa sahaja melalui pengalaman dan hati yang terang serta ikhlas.
g. Kalau berguru, biarlah dengan
orang yang tahu, bukannya orang yang langsung tidak tahu menahu. Siapa guru, amat
penting dalam mencorakkan pemikiran dan perlakuan anak-anak kita. Justeru
sebagai pemegang gelaran ‘guru’, guru harus sedar bahawa pada ketika yang sama
mereka adalah seorang pelajar. Guru perlu sentiasa belajar untuk
mempertingkatkan ilmu pengetahuan dan kemahirannya bagi menjadi pendidik yang
profesional untuk mencapai matlamat pendidikan bertaraf dunia.
Kesimpulannya, guru yang sebenar
perlu mempunyai ilmu, amal, akal, dan sabar supaya ilmu itu dapat
dijadikan bekal warisan ke anak cucu.

No comments:
Post a Comment