a. Orang Melayu dahulu begitu
menekankan ajaran adab berguru, supaya anak taat dan beradab kepada guru serta
orang yang lebih tua daripadanya. Kedudukan seorang guru dianggap mulia
sehinggakan ibu bapa pasrah dan rela guru memukul anak mereka, asalkan anak mereka
berupaya meraih manfaat ilmu daripada guru.
b. Adab berguru dahulu, semasa
permulaan mahu mendapatkan khidmat guru, ibu bapa akan memberi semacam ‘hadiah’
kepada guru sebagai syarat. Sebagai contoh, ada hadiah berbentuk kain atau
pakaian dan ada juga yang memberi hadiah Al-Quran dan rotan. Ada juga yang
memasakkan pulut kuning dan ayam jantan. Biasanya isi ayam jantan akan dimakan
oleh murid di hadapan guru. Rasionalnya, seorang guru dapat ‘membaca’ isi hati,
niat dan perilaku bakal muridnya, hanya dengan melihat cara murid itu makan.
Ada juga adab berguru dalam perguruan silat yang memberi ‘hadiah’ kepada guru
hanya selepas tamat berguru. Apa pun hadiah yang diberikan adalah sebagai
syarat menyatakan keikhlasan dan keredhaan ibu bapa yang meletakkan sepenuh
kepercayaan kepada guru.
c. Guru adalah orang yang
bertanggungjawab mendidik dan menyampaikan ilmu. Seorang guru adalah manusia
yang berilmu, berfikiran jauh, matang dan menggunakan kepakarannya untuk
membimbing orang lain. Perkataan ‘guru’ diambil daripada perkataan Sanskrit.
‘gu’ bererti ‘kegelapan’ dan ‘ru’ pula bererti ‘cahaya’. Justeru tugas guru
adalah untuk ‘menerangkan kekaburan’ pelajarnya. Tugas guru sebagai penyuluh
jalan yang gelap, haruslah membimbing pelajar yang tidak faham dan tidak tahu,
supaya tahu dan faham.