“Jamahlah sedikit, nanti kempunan
pulak ..”
a. Kita sering diingatkan oleh ibu
bapa supaya menjamah makanan sebelum keluar rumah supaya tidak kempunan.
Ibubapa zaman dahulu sanggup mengambil sekepal nasi dari periuk dan
memberikannya kepada anak yang sedang memakai kasut tergesa-gesa kerana sudah
lambat ke tempat kerja atau ke sekolah. Selalunya anak itu akan mengambil nasi
sekepal itu dan memakannya di hadapan ibu atau bapa untuk membuktikan padanya,
nasi itu sudah dijamah. Anak itu akan melihat senyuman pada wajah ibu atau
bapanya, seolah-olah beliau sudah menyelamatkan anak daripada musibah
berakibatkan kempunan.
b. Apakah sebenarnya pengertian
kempunan? Kempunan adalah konsep menjamah makanan yang terhidang biarpun
sedikit. Bagi masyarakat Melayu lama, selera seseorang tidak boleh dibuat main
kerana jika dibiarkan makanan itu tidak tersentuh walaupun hati ingin
merasainya, pasti akan berlaku malapetaka yang boleh mengakibatkan kematian.
c. Selalunya apabila kita bertandang
ke rumah orang Melayu, pasti ada hidangan kuih dan air. Paling sedikit pun, air
segelas, kerana memang adat orang Melayu melayan tetamu dengan baik. Sekiranya
kita tak menyentuh hidangan yang disuakan, pasti tuan rumah akan berkecil hati.
Supaya tidak menyinggung perasaan tuan rumah, kita terpaksa menjamah sedikit,
supaya tidak kempunan. Orang Melayu percaya, walaupun kita sebagai tetamu belum
berselera untuk menjamah hidangan, secara tidak sedar, hati sudah berkata-kata
tentang makanan yang terhidang. Makanan itu harus dijamah supaya kita tidak
akan teringat tentang makanan itu apabila pulang. Tindakan menjamah makanan
adalah untuk mengelak terjadinya kempunan.